Jurnal Kehidupan

Hati Tempat Jatuhnya Pandangan Allah

Bismillah.

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah – lirik lagu Mata Hati oleh kumpulan Hijjaz ini pada saya memberikan satu peringatan besar buat seorang hamba. Kerana ia mengingatkan kita bahawa sebanyak mana pun kebaikan yang terzahir daripada lidah atau perbuatan kita, tetaplah yang dipandang Allah SWT adalah hati.

Hati bagaimana yang hendak kita persembahkan kepada Allah SWT apabila kita kembali kepada Dia nanti. Hati yang penuh dengan penyakit – riak, dendam, hasad, ujub – atau hati yang mutmainnah, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Fajr, ayat 27 – 28:

يَـٰٓأَيَّتُهَا ٱلنَّفْسُ ٱلْمُطْمَئِنَّةُ ٢٧

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!”

ٱرْجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةًۭ مَّرْضِيَّةًۭ ٢٨

“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!”

Hati kita ini telah diberikan dua kecenderungan iaitu kecenderungan yang membawa kepada jalan takwa dan yang membawa kepada kejahatan. Firman Allah SWT dalam Surah Ash-Shamsu, ayat 8:

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَىٰهَا ٨

Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa”

Maka, hati perlu kepada satu proses penyucian agar ia lebih dan sentiasa cenderung kepada kebaikan dan ketakwaan. Penyucian jiwa atau tazkiyatun nafs ini adalah satu perjuangan dalam kehidupan orang beriman. Perjuangan yang tiada henti selagi hayat dikandung badan. Perjuangan yang menuntut ilmu, mujahadah dan pengorbanan.

Kehidupan kita di dunia ini tidak cukup sekadar melaksanakan amal ibadah zahir sahaja. Kerana ada manusia yang dicampakkan ke neraka meskipun tinggi ilmunya, hebat amal ibadahnya. Kerana yang dilihat Allah SWT bukan pada amal zahirnya sahaja, tetapi juga pada hati yang ikhlas dan bersih.

Dalam buku Dosa Tersembunyi karangan Ustaz Said Ramadan al-Buti, bab yang pertama dibincangkan adalah tentang ‘Aspek Batin dan Zahir Dalam Agama’. Saya kongsikan beberapa petikan daripada bab ini untuk renungan bersama:

Apabila tidak sempurna keikhlasan kerana Allah dalam hati, nescaya ketaatan yang zahir itu tidak akan membuahkan apa-apa pun yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Hati yang dipenuhi dengan rasa sombong dan dendam kesumat tidak akan berdaya untuk mempersembahkan ketaatan dan ibadah zahir yang penuh dengan nilai kehambaan kepada Allah.

Jika hilang rasa kehambaan dalam hati seorang muslim ketika melakukan ketaatan zahir, maka ketaatan tersebut tidak mampu mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Ibadah zahir tersebut juga tidak dapat membentengi dirinya daripada tarikan duniawi, serta kegelinciran akibat hasutan syaitan dan hawa nafsu.

Langkah pertama untuk membersihkan hati adalah dengan bermuhasabah. Tanpa muhasabah, kita tidak nampak cacat cela yang ada pada hati. Ia ibarat kita melihat cermin dan meneliti cela-cela yang ada pada wajah. Begitu jugalah kita melihat ke dalam hati – menilik mencari sifat-sifat tercela yang menghuni hati.

Mereka yang tidak menyedari penyakit yang ada pada diri, tidak akan berusaha mencari penawar.

Setelah bermuhasabah dan nampak aib-aib yang ada, kita berserah kepada Allah SWT agar memberikan kita kekuatan, taufik dan hidayah untuk membersihkan hati. Kerana hati kita ini berada dalam genggaman Allah SWT, dan Dialah yang menguasainya. Ada doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW yang mesti kita amalkan sebagai usaha membersihkan hati.

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا. أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Ya Allah, berikanlah sifat taqwa dalam jiwaku, sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang terbaik dalam mensucikan jiwa manusia, kerana Engkaulah Penguasa jiwa kami.

(Riwayat Muslim)

Kemudian, tempuhilah jalan-jalan mujahadah dalam membersihkan hati. Antaranya dengan mentadabbur al-Quran, zikrullah dan menghadiri majlis ilmu. Menurut Ustaz Mustafa Masyhur, Al-Quran adalah wasilah paling afdal untuk mendapatkan bekalan iman dan takwa kepada Allah SWT.

Perjalanan ini bukan mudah. Sebab itu pergantungan perlu diletakkan sepenuhnya kepada Allah SWT agar melimpahkan kita taufik dan hidayah dalam beramal.

Jangan disandarkan pada usaha diri yang sangat banyak kelemahan dan kekurangan – kerana usaha itu sendiripun adalah hakikatnya pemberian Allah SWT. Yakinlah, Allah SWT pasti akan mempermudahkan kita menempuh jalan ketaatan jika kita ikhlas ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita istiqamah dalam menempuh jalan-jalan penyucian jiwa ini sehingga kita kembali kepada-Nya dengan hati yang mutmainnah (meredai dan diredai).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *