Bila Sedih & Risau
Bismillah.
Sebagai manusia, rasa sedih, takut dan risau adalah sesuatu yang normal. Bahkan rasa-rasa yang seringkali dianggap negatif itu adalah satu keperluan bagi seorang hamba. Kerana perasaan itulah yang akan membawa seorang hamba untuk meletakkan pergantungan dan pengharapan kepada Allah SWT. Ia tanda kelemahan seorang hamba di hadapan Allah SWT. Apabila kita merasa lemah, kita akan mencari sesuatu yang kuat sebagai tempat berpaut.
Suami pernah berkongsi tentang satu penulisan di thread yang mengajak kita untuk menukarkan kesedihan atau kerisauan kepada doa. Setiap kali datang rasa sedih atau risau yang menganggu ketenangan hati, kita usir dengan berdoa kepada Allah SWT. Jika mampu, ambil wuduk dan dirikan solat – kemudian tadah tangan mengadu dan bermunajat kepada Allah SWT. Atau bisikkan saja doa dalam hati memohon petunjuk, kekuatan dan pertolongan.
Setelah berdoa, ingatlah bahawa Allah SWT Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan doa hamba-Nya. Namun sebagai hamba, kita berserah sepenuhnya kepada kebijaksanaan Allah SWT tentang bagaimana doa itu akan dikabulkan. Bersangka baik kepada Allah SWT Yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dalam mengaturkan kehidupan hamba-Nya.
Pada saya, ia perlu kepada latihan untuk menguatkan stamina kebergantungan kita kepada Allah SWT. Latih diri untuk berdoa dahulu ketika dilanda kesedihan atau kerisauan sebelum kita melakukan hal-hal sunnatullah yang lain. Hati yang berserah dan yakin kepada Allah SWT pasti diberikan kelapangan dan ketenangan.
Melayan kesedihan dan kerisauan sehingga terabai keperluan diri dan orang sekeliling hanya akan menimbulkan banyak kekesalan. Jangan sampai rasa sedih dan risau itu melupakan kita bahawa kita ada Allah SWT Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu – tempat berpaut yang paling kuat dan tidak ada yang setanding dengan-Nya.
Dalam buku ‘Dan Tuhan Tetap Akan Menjaga Kita’ Ustaz Fakhri Fadzil ada menulis:
Semua yang kita rasa dan lalui dalam kehidupan, Allah SWT mengetahuinya. Setiap air mata dan tangisan yang tumpah, Allah SWT mengetahuinya. Setiap keperitan dan kesedihan yang dialami, Allah SWT mengetahuinya. Setiap kata-kata dan hinaan manusia, Allah SWT mengetahuinya. Dialah al-Jabbar yang akan menyembuhkan luka-luka itu.
Hanya Allah SWT sumber kekuatan dan keteguhan hati kita. Kita tidak akan menjadi kuat melainkan dengan bantuan Allah SWT. Kita tidak akan dapat menghadapi ujian melainkan dengan keteguhan daripada Allah SWT.
Baginda Nabi SAW juga mengajarkan kita untuk memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada al-Hamm (kegusaran) dan al-Hazan (kesedihan) pada setiap pagi dan petang.
اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَاَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّ جَالِ
Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas, dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang. [Hadis Riwayat Bukhari (6369)]
Bila rasa sedih, it’s okay untuk menangis. Itulah cara kita melepaskan bebanan dalam hati. Tapi biarlah tangisan itu bukan ratapan semata-mata, namun bersama hati yang teguh berpaut kepada Allah SWT, mengharapkan rahmat, kasih sayang dan pertolongan dari-Nya.
Jangan sedih dan risau lama-lama ya 😉
Wallahua’lam.